Monday, 26 October 2015

Tazkirah Maghrib - 20/10/2015

💫 Usrah Sinaran Bahagia 💫

✏ Tazkirah Maghrib - 20/10/2015

📝 Riak

Penyakit rohani yang mengancam kemurnian akidah umat Islam ialah sifat riak yang masih wujud walaupun ia dibenci Allah. Riak boleh membinasakan segala kebaikan dan pahala amal soleh seseorang itu. Sifat riak boleh dihindari dengan memperkuat dan mempertingkatkan iman sementara hati sentiasa takut akan azab dan seksaan Allah di akhirat nanti. Imam Al-Ghazali berkata, riak adalah mencari kedudukan pada hati manusia dengan memperlihatkan kepada mereka hal kebajikan. Imam Habib Abdullah Haddad pula berpendapat, riak ialah menuntut kedudukan atau minta dihormati orang ramai dengan amalan yang ditujukan untuk akhirat.

Nabi SAW bersabda,
"Sesungguhnya Allah tidak akan menerima amal kecuali amal yang dilaksanakan dengan ikhlas dan dilakukan semata-mata untuk mengharap redha Allah”.
(Hadith Riwayat Abu Daud dan An-Nasa'i)

Paling mudah disimpulkan, riak adalah perbuatan yang semata-mata bertujuan mengharapkan sanjungan, pujian atau penghormatan orang lain. Hal ini bertentangan kehendak Islam yang menyeru umatnya beramal atau melakukan perkara kebajikan dengan hati ikhlas mengharapkan keredaan Allah. Jika penyakit riak dibiarkan terus bersarang dalam hati seseorang, lama kelamaan ia akan membinasakan kemurnian akidah, keluhuran akhlak dan kesempurnaan amal umat Islam. Memang ada kalangan umat Islam yang melakukan sesuatu amalan kebajikan atau ibadat hanya untuk mengaburi mata orang ramai. Mereka melakukan amalan kebajikan atau ibadat untuk menunjukkan kononnya mereka itu baik, pemurah, warak atau rajin beribadah. Mereka lakukan perkara itu kerana didorong hawa nafsu yang sentiasa berusaha memesongkan mereka yang lemah imannya. Rasulullah sentiasa mengingatkan umatnya supaya menjauhkan diri daripada perbuatan riak. Allah berfirman yang ertinya,

“Sesungguhnya orang-orang munafik itu menipu Allah, dan Allah akan membalas tipuan mereka. Dan apabila mereka berdiri untuk solat, mereka berdiri dengan malas. Mereka bermaksud riak (dengan solatnya) di hadapan manusia. Dan tidaklah mereka mengingati Allah kecuali sedikit sekali”.
(An-Nisa: 142)

Nabi SAW bersabda yang bermaksud,
"Sesungguhnya yang paling aku takut menimpa kalian adalah asy syirkul ashghar (syirik kecil). Sahabat bertanya: "Apakah syirik kecil itu? Baginda menjawab: Riak".
(Hadith Riwayat Imam Ahmad)

Nabi SAW bersabda lagi yang ertinya,
"Mahukah kalian aku beritahu sesuatu yang lebih aku takutkan daripada Dajal? Kami katakan: Tentu. Baginda bersabda: Riak, syirik yang tersembunyi iaitu apabila seseorang mengerjakan solat lalu dia menyempurnakan solatnya apabila mengetahui seseorang memandangnya".
(Hadith Riwayat Ibnu Majah)

Riak ialah menampakan atau memperlihatkan ibadah dengan niat mendapat perhatian atau pujian manusia, kedudukan atau penghargaan atau keuntungan duniawi.
Nabi SAW bersabda yang maksudnya,
“Sesiapa sum'ah (memperdengarkan amalnya), maka Allah akan memperdengarkan aibnya dan sesiapa beramal kerana riak (memperlihatkan amalnya) maka Allah akan membuka niatnya di hadapan manusia pada hari kiamat kelak”.
(Hadith Riwayat Al-Bukhari dan Muslim)  

Sum'ah ialah memperdengarkan atau menceritakan atau memberitahu ibadah dengan niat mendapat perhatian atau pujian manusia, kedudukan atau penghargaan atau keuntungan duniawi. Cara penyampaian boleh secara lisan atau tulisan. Beza antara riak dan sum'ah ialah riak bersangkutan dengan deria mata atau penglihatan, sum'ah bersangkutan dengan deria telinga atau pendengaran. Berkata imam Qurtubi, “Hakikat riak ialah menginginkan dunia dalam ibadah dan asalnya ialah menginginkan kedudukan di hati manusia”.
Al Hafidz Ibn Hajar menjelaskan, “Riak ialah menampakkan ibadah dengan tujuan agar dilihat manusia, lalu mereka memuji pelaku amal tersebut”.

🎓 Admin Farhan / Salam Hadrah

No comments:

Post a Comment